5 OKT : Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memberi peringatan kepada ahlinya agar tidak menggunakan ayat-ayat daripada kitab suci al-Quran.
Katanya, pemimpin-pemimpin DAP perlu lebih berhati-hati dalam pengucapan dan menjadikan kontroversi membabitkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How sebagai satu pengajaran.
“Tak perlulah kita gunakan ungkapan-ungkapan atau ayat-ayat daripada ayat suci. Kita fokus kepada kerja kita. Apabila kita fokus kepada kerja, dasar dan pencapaian kita, kita boleh bawa khidmat lebih baik kepada rakyat.
“Memang kontroversi itu jadi satu pengajaran dan saya yakin Howard pun sudah terima nasihat daripada pelbagai pihak termasuk menteri agama dan beliau memohon maaf secara terbuka,” katanya ketika menghadiri Pesta Tanglung Telemong, pada Rabu.
Sebelum ini, Howard Lee menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak kerana memetik ayat al-Quran dalam konteks politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut memberi nasihat kepada Howard Lee agar berhati-hati dalam menafsir ayat al-Quran bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terutama di zaman media sosial ketika ini.
Bagaimanapun, Howard Lee tampil memohon maaf secara terbuka serta mengakui kesilapannya itu.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata pihak lain tidak perlu campur tangan dengan menggesa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan dua lagi menteri disingkirkan dalam rombakan Kabinet kerana tidak menunjukkan prestasi.
“Saya rasa tak payahlah kita sibuk-sibuk nak bagi tahu perdana menteri apa yang beliau perlu buat,” kata Anthony.