5 OKT : Kerajaan membawa cadangan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) pada sidang Parlimen bulan ini.
Beliau berkata dua akta tersebut bakal melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan.
“Akta-akta ini akan melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan dengan infrastruktur perundangan, prosedur dan pentadbiran untuk merealisasikan sepenuhnya fungsi dan tugasnya sebagai antara cabang pengasingan kuasa dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun Perlembagaan Persekutuan digubal oleh ahli Suruhanjaya Reid yang merupakan warga asing, kesaksamaan mereka, latihan undang-undang dan pengalaman dalam tradisi dan Perlembagaan Parlimen Komanwel telah menyediakan draf terbaik untuk pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbentangannya pada Persidangan Parlimen Komanwel ke-66 di Accra, Ghana, hari ini.
Persidangan yang bertemakan ‘The Commonwealth Charter 10 years on: Values and Principles for Parliaments to Uphold’, itu menandakan ulang tahun ke-10 Piagam Komanwel yang menggariskan prinsip dan nilai Komanwel, bermula dari 30 September hingga 6 Oktober.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata bab dan perkara Perlembagaan Persekutuan disusun dengan cara yang unik dan sistematik bagi memenuhi pelbagai keperluan negara itu sendiri serta pengasingan kuasa yang jelas bagi ketiga-tiga cabang kerajaan itu juga terjalin dan berhubung antara satu sama lain.
“Jentera masih belum diletakkan dan diaktifkan sepenuhnya dan konsep baharu Prinsip Latimer dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memerlukan lebih banyak lagi pendidikan dan kesedaran meskipun konsep pengasingan kuasa ditunjukkan dalam bahagian Perkara yang berbeza,” katanya.