5 OKT : Semua permohonan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dibuat menerusi satu saluran tunggal permohonan bermula 30 Oktober ini.
Permohonan boleh dibuat menerusi portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET), mohon.tvet.gov.my.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata saluran tunggal permohonan itu diperkenal bagi menyelaras kemasukan ke 1,334 pusat latihan TVET di seluruh negara.
“Peserta boleh memilih kursus mana yang mereka minati dan pusat latihan TVET yang mereka mahu. Ia sekali gus mengelakkan pertindihan dan ketidakpadanan dari segi permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen memorandum kerjasama transformasi program TVET antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Zahid berkata beliau juga mahu kursus-kursus yang ditawarkan nanti berasaskan teknologi tinggi termasuk tenaga diperbaharui dan keperluan guna tenaga yang diperlukan pelabur asing.
Justeru, beliau sudah mengarahkan Sekretariat TVET supaya menyediakan pelan haja tuju bagi menterjemahkan dasar TVET 1.0 hingga 2030 dan dasar TVET 2.0 seterusnya menjelang 2050.
“Apa yang kita lakukan ini ialah kita harus keluar dari kepompong latihan konvensional TVET selain mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Oleh itu, penyelarasan itu sangat penting kerana kebolehpasaran graduan TVET telah meningkat cukup tinggi melebihi 92 peratus,” katanya.
Katanya, TVET seharusnya dijadikan pilihan utama selain daripada kursus-kursus bukan TVET bagi mengatasi keciciran berlaku dan mengurangkan kadar pengangguran negara.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkenal beberapa langkah proaktif termasuk mewujudkan dana pembiayaan ketika latihan TVET.