5 OKT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengeluarkan notis kepada sebuah kedai makanan laut di Johor Bahru yang tular didakwa mengenakan bayaran mahal.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna iaitu harga yang mengelirukan.
Menurutnya, premis itu juga diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 supaya mengemukakan maklumat bagi pengiraan pencatutan.
“Kelmarin, kedai makan ini ditutup, oleh itu pemantauan dilakukan semalam. Penguat kuasa sudah memantau harga dan operasi kedai makan itu dan sudah mengambil tindakan sesuai. Bagaimanapun kes masih dalam siasatan,” katanya.
Semalam, Ekin Rahmat yang juga isteri kepada penyanyi dan penyampai radio, Mawi dilaporkan terkejut perlu membayar RM1,260 ketika mengunjungi sebuah kedai makanan laut yang dikunjunginya bersama keluarga pada 30 September lalu.
Ekin atau nama sebenar Nora’Asikin Rahmat berkata dia dan keluarga yang terdiri daripada 12 dewasa, enam kanak-kanak dan warga emas memesan dua ekor ikan yang bersaiz sederhana dan beberapa menu makanan laut namun terkejut selepas melihat resit harga yang dikenakan kedai terbabit.
Ekin mendakwa premis itu tidak meletakkan tanda harga dan hanya menyatakan harga mengikut pasaran.
Petang semalam, pemilik kedai makan itu tampil membuat penjelasan mengenai perkara itu dengan memperincikan setiap caj yang dikenakan terhadap Ekin dan mendakwa kira-kira 20 ahli keluarganya mengunjungi kedai.
Menerusi video yang dimuat naik menerusi laman sosial itu, wanita berkenaan berkata antara menu yang dipesan oleh Ekin dan keluarganya ialah pari bakar, siakap tiga rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam telur masin, ketam cili dan siput gonggong.
“Saya pemilik gerai nombor 14, tujuan video ini bagi memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial. Sekiranya masih tidak jelas, bolehlah datang jumpa makcik,” katanya.
Namun Ekin dalam kenyataan berasingan mendakwa perincian resit yang didedahkan pemilik tersebut tidak sama dengan yang diterimanya.
Terbaharu, pasangan itu memuat naik gambar laporan polis dipercayai berkait kes ini.