5 OKT : Agensi Pengurusan Bencana Alam (NADMA) akan menerbitkan laporan lengkap insiden tanah runtuh di Batang Kali berserta dengan info pemilik tanah yang terbabit.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga sudah menetapkan untuk menyahrahsiakan laporan lengkap itu dalam mesyuarat semalam.
“Pastilah, yang terjadi di kawasan terbabit milik perhutanan,ada rezab jalan. Sudah pasti pemilik tanah terlibat.
“Kita boleh kembali kepada NADMA untuk NADMA letak di laman sesawang, agih kepada mereka memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Daiso Malaysia Group dengan Kajima-Suncon di Setia Alam, pada Khamis.
Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember itu membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian Kondominium Highland Towers runtuh pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.
Tragedi kira-kira jam 2.30 pagi di Batang Kali itu membabitkan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 terkorban termasuk 13 kanak-kanak.