5 OKT : Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan beliau akan memastikan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibawa ke Parlimen.
Katanya, PAC memberi komitmen untuk memantau perkembangan projek pembinaan LCS itu dan akan menyediakan laporan untuk dibentang di Dewan Rakyat.
“Saya diberi taklimat perkembangan pembinaan Kapal Tempur Pesisir oleh Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM, Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Azhar Jumaat,” menurutnya dalam hantaran di media sosial X (Twitter).
Johari mengadakan lawatan ke Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas TLDM di Lumut, hari ini bersama Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi dan ahli lain jawatankuasa itu.
Pada 21 September lalu, Mas Ermieyati berkata laporan Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua-LCS antara empat laporan yang akan dibentang pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang dijadual bersidang bermula 9 Oktober ini.
Katanya, laporan itu bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.