6 OKT : Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan berkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di negara ini, lapor Reuters.
Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn semalam mengarahkan Roger menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS hari ini supaya boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.
Sebelum ini, Roger dijatuhi hukuman penjara 10 tahun Mac lalu kerana membantu menggelapkan berbilion ringgit kekayaan bdana 1MDB.
Sebelum diserahkan kepada Malaysia, pendakwa dalam satu surat awal kepada Brodie berkata Roger dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara dan ia turut dipersetujui peguam mewakilinya.
Brodie menjatuhkan hukuman kepada Ng 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.
Hukuman terhadap Leissner yang tertangguh dijadualkan pada 19 Mac 2024.
Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.
Roger ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS.
Pada 7 September lalu, Brodie menangguhkan tarikh serah diri Roger ke penjara dari 6 September kepada 6 Oktober tahun ini.
Penangguhan itu dibuat bagi membolehkan pasukan pendakwa raya Persekutuan AS ‘mencari lebih banyak masa’ untuk berbincang dengan Kuala Lumpur mengenai membenarkan Ng pulang ke Malaysia bagi menjalani perbicaraan.