6 OKT : Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menolak dakwaan terdapat campuran beras plastik dalam produknya.
Menurut Bernas, pihaknya sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import serta tempatan.
“Bernas ingin menegaskan bahawa dakwaan ini sama sekali tidak benar dan tidak berasas! Semua jenis beras import dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini.
“Bekalan beras dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi serta ditetapkan oleh kerajaan. Ini bertujuan bagi mencegah sebarang bentuk penyelewengan tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial kononnya terdapat campuran beras plastik dalam produk keluaran Bernas.
Dalam kenyataan sama, syarikat itu menjamin beras import yang dibekalkan adalah tulen dan selamat untuk kegunaan orang ramai.
Bernas mengesa orang ramai supaya memanfaatkan media sosial secara positif dan tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar.
“Penyebaran berita palsu ini telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.
“Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini atau sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang ingin dikongsi, anda boleh menghubungi kami di alamat information@bernas.com.my,” katanya.