6 OKT : Cadangan memperkenalkan rangkaian 5G kedua masih dalam proses perbincangan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Tanpa mendedahkan maklumat terperinci tentang hal tersebut, Fahmi berkata perbincangan itu kini sedang dilakukan oleh pasukan petugas 5G yang dilantik.
“Saya tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini kerana perbincangan itu sangat dinamik.
“Namun, perbincangan itu sedang dilakukan pasukan petugas 5G yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Fauzi Isa serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran rangkaian 5G persendirian Petronas di ibu negara, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan 5G kedua dengan peralihan kepada rangkaian dwi untuk dimulakan dalam Fasa 2 pelaksanaan rangkaian 5G.
Walau bagaimanapun, peralihan hanya akan berlaku apabila DNB sudah mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan semua syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dijangka menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) mengenai pemilikan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada pertengahan Oktober.
Katanya, perjanjian itu perlu dilakukan sebelum mengadakan perbincangan lanjut mengenai rangkaian 5G kedua.
“Langkah pertama ialah menandatangani, saya dimaklumkan oleh pasukan petugas jika semua perkara berjalan lancar, sebelum pertengahan bulan ini. Mudah-mudahan,” kata Fahmi. OLEH : AISYAH BADRUL