6 OKT : Satu stesen udara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 5 petang, hari ini.
Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai di Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU tidak sihat tertinggi iaitu 138.
Sementara itu, sebanyak 57 stesen di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana.
Antara kawasan yang berada di tahap ini adalah Bukit Rambai, Melaka (99); Banting, Selangor (93); Segamat, Johor (92); Cheras, Kuala Lumpur (90); Tangkak, Johor (89); Bandaraya Melaka, Melaka (86); Port Dickson, Negeri Sembilan (85); Klang, Selangor (82) dan Johan Setia, Selangor (81).
Selain itu, data sama turut menunjukkan sebanyak 10 kawasan di lima negeri merekodkan tahap IPU yang baik antaranya Langkawi di Kedah merekodkan bacaan 22; Minden, Pulau Pinang (29); Taiping, Perak (39); Besut, Terengganu (41) dan Kota Bharu, Kelantan (48).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui tahap IPU terkini.