7 OKT : Pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan menzahirkan rasa syukur di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang diadakan pada Sabtu.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemenangan tersebut membuktikan masyarakat di Pelangai begitu matang dan bijak dalam membuat pilihan bagi menentukan wakil rakyat paling layak untuk mewakili mereka.
“Syukur Alhamdulillah di atas kepercayaan masyarakat Pelangai kerana memilih calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dalam PRK DUN N36 Pelangai pada hari ini.
“Sesungguhnya, kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh masyarakat Pelangai ini amat dihargai dan disanjung tinggi, serta akan digalas dengan sehabis baik dan sepenuh hati oleh Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui BN,” kongsi beliau di Facebooknya, pada Sabtu.
Amizar berjaya mengekalkan penguasaan BN di DUN Pelangai dengan meraih majoriti sebanyak 2,949 undi.
Wan Rosdy berkata kejayaan itu juga membuktikan masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’dalam setiap siri ceramah mereka.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan berkata kejayaan BN pada malam ini membuktikan rakyat Pelangai semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan sebagai wadah terbaik untuk kesejahteraan negara.
“Alhamdulillah warga Pelangai memberi sokongan begitu hebat kepada calon Perpaduan, Amizar yang dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRK yang berlangsung hari ini.
“Ini adalah pengiktirafan bahawa rakyat semakin yakin dengan Kerajaan Perpaduan sebagai wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara kita Malaysia,” katanya.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi hantaran Faceboonya turut mengakui Amizar merupakan calon yang terbaik yang dipilih pengundi untuk menjaga DUN Pelangai.
“Sememangnya inilah calon terbaik untuk Pelangai. Saya cukup yakin YB Datuk Amizar akan terus bekerja untuk rakyat dan mengangkat suara warga Pelangai ke DUN Pahang dengan baik.
“Setinggi penghargaan juga buat seluruh jentera parti yang bekerja tanpa henti khususnya sepanjang tempoh berkempen ini bagi membantu calon BN beroleh kemenangan,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL