7 OKT : Mana-mana sekolah ditutup tanpa mendapat kelulusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying mengingatkan pihak sekolah agar sentiasa memantau kualiti udara dan bacaan IPU melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Menurut garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha menangani situasi jerebu jika bacaan IPU melebihi 100, tiada sebarang aktiviti luar boleh dilaksanakan di sekolah.
“Jika ia melebihi 200, sekolah akan ditutup dan pembelajaran perlu dilakukan secara dalam talian. Pihak sekolah tidak perlu menunggu kelulusan, namun perlu memaklumkan kepada PPD,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Jeti Chew di Georgetown hari ini.
Selain itu, beliau juga berkata pelajar dan guru digalakkan memakai pelitup muka di sekolah serta minum air yang cukup.
Pada masa sama, Hui Yong turut menasihati ibu bapa agar sentiasa meneliti keadaan kesihatan anak-anak mereka serta mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika ini.