7 OKT : Harga gula global melonjak ke paras tertinggi sejak hampir 13 tahun apabila fenomena cuaca El Nino menjejaskan pengeluaran gula di India dan Thailand.
Menurut kenyataan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada Jumaat, indeks Harga Gula FAO melonjak sebanyak 9.8 peratus berbanding Ogos, dan ia merupakan titik tertinggi sejak November 2010 walaupun harga makanan dunia stabil secara keseluruhan pada bulan lepas.
FAO berkata indeks Harga Gula FAO kini meningkat selama dua bulan berturut-turut berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prospek bekalan global yang lebih ketat pada musim 2023-2024.
“Ini terutamanya mencerminkan ramalan awal yang menunjukkan penurunan pengeluaran dalam pengeluar gula utama, Thailand dan India disebabkan oleh keadaan cuaca yang lebih kering daripada biasa yang dikaitkan dengan peristiwa El Nino semasa.
“Harga minyak mentah antarabangsa yang lebih tinggi juga menyumbang kepada kenaikan harga gula dunia,” katanya.
El Nino merupakan perubahan corak iklim berlaku secara purata setiap dua hingga tujuh tahun.
Fenomena itu biasanya dikaitkan dengan peningkatan suhu permukaan lautan di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik tropika serta boleh berlangsung antara sembilan hingga 12 bulan.