7 OKT : Malaysia menerima pelaburan bernilai RM40.6 bilion bagi sektor seperti tenaga boleh diperbaharui (RE), aeroangkasa dan logistik susulan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir semalam.
Ini termasuk komitmen Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek-projek RE dengan kapasiti 10 gigawatt (GW) di Malaysia.
Satu memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Masdar dimeterai hari ini.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz Abdul Aziz hubungan Malaysia-UAE kukuh merangkumi pelbagai sektor.
“Kami sangat gembira bahawa walaupun tempoh lawatan kerja yang singkat, kita berjaya memperoleh pelaburan komited sebanyak RM40.6 bilion. Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE adalah kukuh dan merangkumi pelbagai sektor.
“Sejajar dengan misi sifar bersih Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), RE dan penyelesaian rendah karbon adalah sasaran pelaburan baharu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya kerjasama strategik MITI bersama Masdar dan Majlis Pelaburan Antarabangsa UAE (UAEIIC) akan merintis jalan kepada Malaysia menceburi teknologi baharu yang mengutamakan karbon rendah, pembuatan hijau dan penyelesaian ekonomi sirkular.
Tengku Zafrul turut menjadi hos sesi meja bulat dengan pemimpin-pemimpin industri termasuk rakan sejawatnya, Menteri Negeri bagi Perdagangan Asing UAE, Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi.
Sesi itu menarik lebih daripada 40 wakil daripada 21 syarikat UAE, termasuk Abu Dhabi National Oil Company, TAQA, MASDAR, Al-Dahra, Lulu Group dan Royal Jet.
Kebanyakan syarikat ini adalah pelabur sedia ada dan telah menyatakan minat untuk menambah pelaburan mereka di Malaysia.
Tahun lalu, UAE adalah rakan perdagangan kedua terbesar dalam kalangan negara di Asia Barat dan rantau Majlis Kerjasama Teluk.
Perdagangan dua hala mencecah RM38.73 bilion pada 2022, mewakili peningkata ketara sebanyak 73.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi pelaburan, ketika ini UAE adalah pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).