8 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, semalam.
Dalam perkongsian menerusi Facebooknya, Anwar berkata, kemenangan itu merupakan hasil kesepaduan kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.
Jelasnya lagi, kemenangan itu turut menjadi kesinambungan kecemerlangan di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Ia juga meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi MADANI,” tulisnya.
Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan, serta menzahirkan penghargaan kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan itu.
Amizar, 53, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong memenangi kerusi Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.
Beliau memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi, sekali gus hilang wang deposit.