8 OKT : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahu memohon penambahan kawasan Parlimen di Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menegaskan perkara itu, Presiden PBB, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, penambahan tersebut sejajar dengan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang jelas menyatakan kepentingan suara Sarawak dan Sabah.
Menurut laporan Bernama, PBB akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji dan mengusul perkara ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Terdahulu, Naib Presiden PBB Julaihi Narawi menyerahkan usul agar bilangan kawasan Parlimen di negeri itu ditambah bagi membolehkan Sarawak dan Sabah mempunyai 1/3 kerusi Dewan Rakyat.
Usul berkenaan turut mencadangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu dipertimbangkan untuk Sarawak.
Pada masa ini, daripada 222 kawasan Parlimen sebanyak 56 kawasan terletak di Malaysia Timur, yang mana 31 daripadanya di Sarawak dan 25 di Sabah; berbanding 166 kerusi di Malaysia Barat.