9 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggunjawab yang menyunting video wawancaranya bersama Cable News Network (CNN) baru-baru ini mempunyai unsur khianat.
Beliau mendakwa tindakan tersebut untuk memberi persepsi negatif terhadap dirinya ketika menyentuh berkenaan hal Ekonomi MADANI.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika persidangan Dewan Rakyat, hari ini mengenai perdana menteri tidak menjawab dengan baik berkenaan kerangka Ekonomi MADANI semasa wawancara itu.
Bagaimanapun, Anwar mebidas kenyataan Hamzah dengan berkata Ahli Parlimen Larut itu perlu membaca keseluruhan temu bualnya bersama CNN serta tidak membaca jawapan ‘cut and paste’.
“Saya sarankan, Yang Berhormat (YB) supaya membaca keseluruhan w wancara bersama CNN. Kita sudah pun tunjukkan laporan dikeluarkan CNN yang berikan liputan sepenuhnya jawapan tetapi ada unsur-unsur khianat sengaja memotong dan menunjukkan tak ada jawapan.
“Saya harap kalau YB jangan baca dari ‘cut and paste’. Baca yang sepenuhnya,” katanya .
Dalam pada itu, ketika ditanya Hamzah mengenai perbezaan antara Ekonomi MADANI dan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad empat tahun lalu , Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ekonomi MADANI yang diwujudkan di bawah pentadbirannya bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fizikal serta isu nilai dan ehsan.
“Asas pertama, konteks negara kita berbeza pasca Covid-19 kita terima kenyataan kita berhadapan dengan keadaan tidak terjangkau dan kadang-kadang berlaku dalam keadaan serentak.
“Oleh itu kita memikirkan keperluan memperkenalkan dasar yang selari dengan nilai, agama, pemikiran dan masalah tempatan yang tidak semestinya sesuai dengan saranan awal Bank Dunia.
“Ekonomi Madani juga mendokong cita-cita menyeluruh negara bukan sahaja hasil ekonomi tetapi sasaran sosial, tatakelola,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL