9 OKT : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajib memikul tanggungjawab bagi menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata langkah itu bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih teruk di negara itu.
“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zahari berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera agar semua pihak menghentikan keganasan sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.
“Seri Paduka turut menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi oleh Palestin.
“Ini adalah kerana penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.
“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya.
Zahari berkata, Seri Paduka bertitah Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
Menurut kenyataan itu lagi, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera
Baginda juga mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.
Katanya, Al-Sultan Abdullah turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim akan mengadakan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin, selepas solat isyak malam ini.
Sementara itu beliau menyeru agar masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut melakukan solat hajat pada tarikh dan waktu yang sama.
Masjid seliaan Jakim ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya. #solidarityforPalestine