9 OKT : Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kembali lagi dengan kaedah latihan berbeza melibatkan latihan di kem tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu dibuat kerajaan kerana melalui program itu, belia diberikan asas ketatanegaraan.
Katanya, sebanyak 13 kem pusat latihan askar Wataniah yang mampu menampung sehingga 20,000 pelatih akan digunakan bagi sesi latihan untuk tempoh 45 hari.
“Kerajaan sudah pun memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah menteri pada 2021 sudah meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN kerana PLKN ini amat baik untuk diberikan asas ketatanegaraan kepada belia.
“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN tetapi dengan ‘template’ (rangka) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan-cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.
Dalam pada itu, Mohamad berkata pelaksanaan PLKN 3.0 di kem tentera juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang hanya akan membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun berbanding model sebelum ini yang mencecah kos perbelanjaan sehingga RM500 juta setahun.
“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan.
“Penjimatan ini adalah kerana kita menggunakan kem dan tentera (pengajar dan jurulatih) sendiri,” katanya.