9 OKT: Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memperakui atau menyokong mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu.
Menurut kenyataan hari ini, PMO memandang serius tindakan mana-mana kumpulan yang secara sengaja menyalahgunakan nama perdana menteri tanpa kebenaran pihaknya.
“Tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti perdana menteri dan pentadbiran Kerajaan.
“Sehubungan itu, pihak pejabat perdana menteri menasihatkan agar rakyat tidak keliru dengan kenyataan tidak rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan seorang ahli perniagaan, P Thiagarajan yang mendakwa kenalan rapat Anwar berhasrat menubuhkan parti politik baharu berasaskan kaum India di negara ini.
Thiagaran berkata demikian dalam satu majlis yang diadakan di Klang dalam usaha memungut suara pemimpin masyarakat dan NGO India berhubung keperluan menubuhkan parti baharu itu.
Katanya, segala keputusan pada majlis itu akan disampaikan kepada perdana menteri dalam masa terdekat.