Malaysia komited majukan tenaga boleh diperbaharui
11 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sentiasa konsisten memberi jaminan bahawa Malaysia komited memajukan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Selain itu, beliau juga mahu memudahkan urusan perniagaan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perkara itu dizahirkanyan pada pertemuan dengan Presiden UAE yang juga Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan ketika lawatan kerjanya selama dua hari ke Abu Dhabi, minggu lalu.
Dalam lawatan itu, Anwar turut bertemu beberapa menteri kanan yang terbabit dalam hal ehwal ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
“Saya turut bertemu pemegang taruh dana kekayaan berdaulat UAE, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan syarikat-syarikat perniagaan terbesar di UAE.
“Insya-Allah, saya yakin perencanaan yang telah disusun serta dirangka ini mampu menjadikan Malaysia sebagai antara hab terpenting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya melalui kenyataan yang dimuat naik di Facebook, malam tadi.
Menurutnya, dalam lawatan singkat yang hanya berlangsung kira-kira 36 jam itu, Malaysia berjaya membawa pulang pelaburan yang berbilion ringgit.
“Dalam lawatan singkat tersebut, Malaysia berjaya meraih manfaat besar terutama dalam aspek pelaburan dari negara teluk itu dengan menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion (ASS$8.6 bilion) dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik,” kaatanya.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Abu Dhabi pada 5 dan 6 Oktober lalu.
*SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri