12 OKT : Syarikat AirAsia dan Batik Air menawarkan diskaun tambang penerbangan 50 peratus kepada penumpang MYAirline yang terjejas susulan pergantungan operasi syarikat itu, hari ini.
AirAsia mengumumkan tawaran istimewa itu secara eksklusif kepada penumpang yang sudah membuat tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau, Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok mulai hari ini hingga 30 November depan.
Tambang asas 50 peratus adalah untuk tambang sehala tidak termasuk cukai lapangan terbang, bayaran Mavcom, surcaj bahan api dan bayaran lain yang berkenaan.
Untuk menebus tawaran tersebut, penumpang boleh mengemukakan tempahan penerbangan MYAirline yang disahkan di kaunter jualan AirAsia di KL Sentral di Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Bharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata tawaran itu sebagai inisiatif pihaknya mengurangkan kesulitan rancangan perjalanan penumpang.
“Kami memahami tekanan dan gangguan yang timbul akibat situasi ini dan berharap diskaun 50 peratus ini akan membantu penumpang yang terjejas dalam membuat aturan perjalanan baharu, menggunakan sepenuhnya rangkaian penerbangan kami yang luas ke semua destinasi utama,” katanya.
Malah menurut Bo juga berhasrat menghulurkan bantuan dengan mempertimbangkan untuk mengambil individu berkelayakan di MYAirline menyertai syarikatnya.
“Mereka dialu-alukan menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka kepada pasukan kami.
“Kami menggalakkan kakitangan MYAirline yang terjejas untuk menghubungi kami dan meneroka kemungkinan menyertai keluarga Allstars,” katanya
Dalam pada itu, Batik Air pula menawarkan diskaun untuk tambang tetap di laluan terpilih.
Batik Air menawarkan termasuk penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang (RM129), Langkawi (RM159), Kuching (RM199) dan Kota Kinabalu (RM299), dan Bangkok (Don Muang).
“Melihat kesulitan yang dihadapi oleh penumpang, sasaran kami ialah membantu mereka supaya dapat sampai ke destinasi yang dituju dengan mudah.
“Kami berada di sini untuk menyokong penumpang yang terkesan dalam tempoh ini,” kata Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air dan Lion Group, Datuk Chandran Rama Muthy.
Penumpang yang terjejas dikehendaki melampirkan salinan tiket MYAirline mereka dan membuat tempahan melalui e-mel di mya@batikair.com.my sehingga 30 November ini.
Awal hari ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya yang berkuat kuasa serta merta susulan masalah kewangan.