12 OKT: Kerajaan belum memutuskan untuk mengikut jejak langkah Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok Shop.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kementeriannya masih lagi mengumpul maklumat serta memahami situasi sepenuhnya tentang platform jualan itu sebelum mengambil sebarang keputusan.
Katanya, beberapa maklumat daripada TikTok Shop untuk memahami situasi sepenuhnya berkenaan penetapan harga, kedaulatan dan perkongsian data masih belum diterima.
“Semestinya saya minta beberapa maklumat daripada TikTok Shop untuk memahami situasi sepenuhnya seperti yang ada disebutkan (Presiden Indonesia) Jokowi membabitkan penetapan harga, kedaulatan data dan perkongsian data.
“Beberapa perkara ini kita sampaikan kepada TikTok Shop dan mereka akan kembali dengan maklum balas. Kita akan teliti dulu dan jika perlu selepas itu, berdasarkan maklumat yang kita terima dan memahami keadaan, apa-apa tindakan yang akan diambil akan dibuat selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Sistem Pengurusan Inventori Autonomi Kecerdasan Buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di Malaysia hasil kerjasama antara CelcomDigi Bhd dan DHL Supply Chain Malaysia (DHL), hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan pihak TikTok mengenai pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia yang belum memuaskan.
“KKD meminta TikTok untuk bertemu dengan kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu depan dan mereka bersedia untuk bertemu dan mengadakan perbincangan.
“Dalam pertemuan semalam, saya minta supaya beberapa maklumat tambahan disediakan TikTok Shop dan ini akan diteliti kementerian dalam minggu-minggu akan datang,” katanya.