12 OKT: Syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta-merta berkuat kuasa hari ini (12 Oktober) sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan My Airline pada Khamis, tekanan kewangan menjadi punca keputusan itu terpaksa dilakukan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.
“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MyAirline turut menyarankan penumpang yang terjejas mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka serta tidak perlu datang ke lapangan terbang itu.
“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” katanya.
Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan sokongan.
MYAirline dilancarkan hujung tahun lalu.