12 OKT : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dijangka membuat serbuan di lima buah kilang beras di Kedah, hari ini.
Ia susulan sebuah kilang di Kedah disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) seberat 180 tan pada Selasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut perspektif SPRM dalam meneliti segala maklumat dan aduan berkenaan isu beras.
“Hari ini terdapat lima buah kilang lagi akan diserbu SPRM. Dua daripanya sudah diserbu dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan ada lagi kilang akan dibuat pemeriksaan.
“Satu syarikat semalam sudah dituduh. Bertindak atas maklumat itu, kita secara proaktif menyerbu satu kilang yang mana kita bukan sahaja melihat isu beras tetapi subsidi yang diseleweng serta pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Public Private Partnership (PPP) Fasa 2 di Dorsett Hotel, hari ini.
Pada masa sama, beliau memberitahu banyak agensi yang turut terlibat dalam isu ini berkenaan penyelewengan subsidi dan dana kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan yang dijalankan tidak menyasarkan mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri mahupun ahli politik.
“Tugas kami adalah meneliti maklumat serta aduan yang diterima malah kita akan menyiasat mereka terlibat dengan profesional. Mana-mana pihak yang terlibat dalam isu jenayah akan menjadi perhatian tanpa mengira siapa pun mereka.
“Pegawai-pegawai saya perlu meneliti segala dokumen seperti invois, tuntutan subsidi dan sebagainya. Selain itu, pihak kawal selia padi ini juga akan dipanggil untuk beri keterangan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah kilang beras di Kedah disita selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000 menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dijalankan pada Isnin.
Pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.