12 OKT : Kerajaan menafikan dakwaan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dibatalkan seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) masih berlaku seperti yang dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
Sehubungan itu KPKM membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Kerajaan tidak menarik atau membatalkan konsesi beras kepada Bernas yang dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031. Konsesi ini turut melibatkan 10 obligasi sosial Bernas termasuklah menyediakan stok penimbal beras negara.
“Pihak kementerian menasihatkan orang ramai tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan perbuatan menyebarkan mesej palsu ini perlu dihentikan,” menurut KPKM dalam satu kenyataan.
Pada 3 Disember 2020, kerajaan mengumumkan konsesi Bernas bagi pengedaran beras dalam negara dilanjutkan untuk 10 tahun lagi bermula 11 Jan 2021 selepas konsesi terdahulu tamat pada 10 Jan 2021.
Lanjutan konsesi itu turut melibatkan penambahbaikan terma baharu dan penambahan bilangan obligasi sosial daripada lima kepada 10.
Antaranya memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan; bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani serta pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani.
Berkait dakwaan penguatkuasaan tidak dijalankan, KPKM berkata Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT) sedang dijalankan dan dua kilang disita serta disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) sehingga kini.
Op BPT mula dilaksanakan pada 16 Ogos lalu yang memfokuskan kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap kilang padi komersial serta pemborong beras.