12 OKT: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) membabitkan urusan pemprosesan data peribadi pengguna berisiko mengakibatkan kebocoran maklumat mahupun serangan siber.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata kementeriannya bersama Cyber Security Malaysia sedang dalam perancangan membangunkan garis panduan AI bagi mengawal serta meminimumkan kadar capaian atau penggunaan AI berkaitan data peribadi.
“KDN memandang serius tentang perkara ini dan kita juga sedang mengukuhkan kawal selia keselamatan siber menerusi penggunaan teknologi AI dengan pelbagai sumber data keselamatan untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman siber dengan lebih efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PH-Tun Razak) berhubung langkah penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ancaman siber di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Teo Ni Ching (PH-Kulai) berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang dalam proses menggubal RUU itu selari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Kanun Kesalahan Jenayah.
Katanya, KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang meneliti serta membuat pindaan dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) tentang beberapa aspek bagi mengawal jenayah siber di Malaysia.
“Tujuan pindaan ini bagi memastikan Akta 709 sejajar dengan perkembangan teknologi digital semasa serta data peribadi.
“Antara pindaan Akta 709 yang dicadangkan bagi mengawal ancaman siber termasuk mewajibkan pengguna data melantik pegawai perlindungan data melaporkan insiden kebocoran data kepada Pesuruhjaya Pelindungan Data Peribadi dan meningkatkan kadar denda yang tinggi kepada pengguna data pemproses data,” katanya.
Selain itu, Teo Nie Ching berkata JPDP, Cyber Security Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) sedang giat melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam serta meningkatkan pembangunan kapasiti latihan kepakaran keselamatan siber. OLEH: AISYAH BADRUL