12 OKT : Sokongan berterusan Malaysia terhadap rakyat Palestin bukan sesuatu yang baharu meskipun dunia bersikap menutup mata terhadap penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Gaza sejak berdekad lalu.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata Malaysia sentiasa memberikan sokongan dan menzahirkan semangat persaudaraan sama ada di peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa.
“Bagi pihak berkuasa Palestin, rakyat kami serta komuniti di Gaza dan Tebing Barat, Baitulmaqdis, kami berterima kasih kepada Malaysia.
“Kami sangat hargai sokongan itu dan berdoa kepada Allah SWT agar melindungi Malaysia, memastikan ia kekal aman dan bersatu. Insya-Allah, kami akan raikan kalian di (Masjid) al-Aqsa suatu hari nanti. Terima kasih banyak Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima penyerahan sumbangan bantuan awal kemanusiaan RM1 juta kepada Palestin di lobi Parlimen, hari ini.
Sumbangan daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) itu diserahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kerajaan menyerahkan bantuan kewangan itu sebagai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin ekoran pertempuran dengan Israel yang kini memasuki hari keenam.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyaluran bantuan itu adalah sebagai tindakan segera kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Palestin.
“Kerajaan akan terus memudah cara urusan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin dengan segera,” kata Ahmad Zahid semasa menggulungkan ucapan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat.