13 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM52.2 bilion pada 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM1.9 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Ia merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.
“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas, dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.
“Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion. Antaranya termasuklah; SMK Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.
Selain itu, sejumlah RM6.8 bilion diperuntukkan untuk Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) pada tahun depan yang mana sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.
“Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz TVET pada tahun hadapan,” katanya.
Pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin akan diberikan kepada murid sehingga Tingkatan 3 berbanding sehingga Tingkatan 1 sebelum ini.
Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada Pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM150 juta yang akan memanfaatkan sejuta murid pada tahun depan.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menerima peruntukan terbesar tahun depan dengan jumlah RM41.2 bilion berbanding RM36.3 bilion tahun ini.
“Kertas Putih Kesihatan yang dihamparkan di Dewan Rakyat pada pada Jun lepas telah menggariskan beberapa cabaran utama sistem kesihatan negara yang perlu segera ditangani, termasuklah mengintegrasi sektor kesihatan awam dan swasta yang selama ini terpisah.
“Sejumlah RM5.5 bilion daripada peruntukan keseluruhan adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin,” katanya.
Selain itu, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan antaranya Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta; Kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor; Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM175 juta.
Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor; serta Lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta.
Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak serta mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar 90 pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM200 juta.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih klinik-klinik daif akan terus diperhebat, dengan RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang.
“Sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.
“Ini termasuk RM200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan,” katanya.
Skim Perubatan MADANI turut diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi. OLEH : AISYAH BADRUL