13 OKT : Kerajaan bakal menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus berbanding 6 peratus ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara di samping tidak membebankan majoriti rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.
“Kerajaan juga akan meluaskan skop perhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” katanya.
Selain itu, antara langkah reformasi percukaian lain yang diperkenalkan kerajaan adalah menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan pada kadar 5 hingga 10 peratus.
Beliau berkata cukai yang dipungut oleh kerajaan adalah antara yang terendah di ASEAN pada 11.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ketimbang (berbanding) Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).
“Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.
“Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa,” katanya.