13 OKT : Kumpulan penggodam, Dragonforce Malaysia (DFM) mendakwa sudah melancarkan serangan siber terhadap Israel yang dinamakan Operasi Badai Al-Aqsa, hari ini.
Kumpulan itu berkata, serangan ke atas pangkalan data dan akaun media sosial Israel itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim zionis membedil rakyat Palestin.
Tindakan itu dizahirkan bagi menuntut Israel menghentikan segala tindakan ketenteraan ke atas rakyat Gaza.
Kata DFM, operasi mengejut itu dilaksanakan mengikut tertib susulan seruan Palestin terhadap umat Islam dan panji-panji Islam untuk turut serta dalam jihad kali ini seperti yang diumumkan melalui beberapa jurucakap pejuang Palestin sebelum ini.
Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada Sabtu lalu susulan pencerobohan zionis ke Masjid Al-Aqsa sebelum ini selain ditindas bertahun tahun lamanya.
Sebagai tindak balas, tentera Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan kawasan padat penduduk di semenanjung Gaza selain menggunakan senjata yang diharamkan, fosforus putih.