14 OKT : Kira-kira 2 juta penduduk di Gaza berdepan kehabisan bekalan air, sumber penting untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ketua Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata tiada bantuan dapat masuk ke Gaza sejak seminggu lalu.
“Keadaan sekarang ini antara hidup dan mati. Bahan api perlu dihantar segera ke Gaza untuk membolehkan air dibekalkan kepada dua juta penduduk.
“Sudah seminggu tiada bekalan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza,” kata dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
Difahamkan penduduk yang masih bertahan terpaksa menggunakan air kotor dari perigi selepas loji air di Gaza dan rangkaian air awam berhenti berfungsi.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit bawaan air.
Selain itu kata Phillippe, Gaza juga mengalami gangguan bekalan elektrik sejak Rabu yang turut menjejaskan bekalan air.
“Dalam tempoh 12 jam, ribuan penduduk hilang tempat tinggal. Penduduk terpaksa berpindah ke selatan Gaza. Hampir sejuta orang telah meninggalkan rumah masing-masing dalam tempoh seminggu,” kata Lazzarini.
Bekalan air minum turut kehabisan di selatan Gaza yang menjadi tempat ribuan penduduk mencari perlindungan.