14 OKT : Kerajaan berhasrat untuk menyemai pembudayaan dan merakyatkan sukan dalam kalangan golongan muda dengan amalan gaya hidup aktif juga sihat.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mewujudkan kerjasama bagi menyemarakkan kegiatan sukan di institusi pendidikan dan komuniti.
Anwar berkata, masyarakat MADANI hanya berkembang jika rakyat diperkasakan dalam pelbagai bidang khususnya kesihatan.
“Di bawah kerangka MADANI, kerajaan mahu semua aspek kesukanan seperti olahraga dan sukan lain dianggap penting bagi merealisasikan hasrat itu.
“Saya berharap persatuan sukan, malah kelompok anak muda keseluruhannya seperti sekolah dan universiti dapat merealisasikan dan sebab itu saya harap ada jaringan antara menteri KBS, KPM dan KPT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang dibentangkan semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata terdapat beberapa perkara yang dituntut dalam bidang sukan selama puluhan tahun diberikan tumpuan
Antara perkara yang diberi peneknan adalah kegiatan sukan secara umum, sukan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) atau pelepasan cukai.
Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau turut menambah peruntukan bagi program Rakan Muda supaya generasi muda cergas dalam semua bidang.
“Rakyat di bawah mahukan keamanan, menerima kenyataan kepelbagaian di negara kita dan antara kegiatan utama yang kita galakkan adalah kegiatan sukan.
“Kita mahu kita menang. Tidak kira nama dia apa, tapi dia anak muda Malaysia catat kemenangan hebat, itu cita-cita kita,” katanya.
Seramai 30,000 orang menyertai HSN 2023 di Putrajaya dan mensasarkan 4.5 juta penyertaan di seluruh negara, melalui penganjuran 66 acara dan aktiviti sukan serta rekreasi selama tiga hari, bermula semalam.