14 OKT : Semua pihak digesa untuk terus kekal dalam membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan masyarakat daif dan asnaf yang meningkat saban tahun perlu diatasi dengan peranan baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
“Semua pihak perlu istiqamah dalam membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini sebagaimana yang telah dihasratkan.Namun, setiap tahun akan wujud masyarakat daif dan asnaf sebab garis kemiskinan itu akan bertambah berdasarkan kepada kos sara hidup.
“Semua negara di dunia akan menghadapinya, soalnya kita perlu istiqamah untuk terus membantu rakyat serta jangan politikkan soal kemiskinan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menyedari diri mereka ditipu serta berdepan ancaman keselamatan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu seorang pemuda dan wanita didakwa dijual kepada sindiket pemerdagangan orang oleh kenalan semasa bercuti di Thailand pada 11 Oktober lalu.
“Saya fikir ada nasihat yang diberikan dan menyeru supaya nasihat ini diikuti, jadi sila maklumkan.
“Kepada mereka yang mahu ke luar negara haruslah memberitahu pihak berkuasa terlebih dahulu, bagi mengelak perkara tidak diingini atau yang semacam ini daripada berlaku,” katanya.