14 OKT : Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencadangkan agar pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dapat melibatkan ahlinya yang berpengalaman dalam bidang ketenteraan.
Ahli Majlis Veteran Kebangsaan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata veteran ATM boleh memberi khidmat sebagai jurulatih PLKN 3.0 yang bakal dilaksanakan di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara.
Ahmad berkata pengalaman luas dan kepakaran dimiliki veteran ATM boleh dimanfaatkan bagi membantu kelancaran program PKLN.
“Cadangan melantik jurulatih PKLN dalam kalangan veteran ATM amat baik kerana ia boleh membantu kelancaran program itu mengikut pengalaman yang mereka miliki.
“Selain itu 2,000 lantikan untuk renjer turut dibuka kepada veteran ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM peringkat negeri di Mukim Ayer Baloi, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelaksanaan PLKN kali ini menggunakan kaedah latihan berbeza dari sebelum ini iaitu anak muda perlu menjalani latihan di kem tentera.
Beliau berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih akan digunakan untuk latihan selama 45 hari.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal menerusi Belanjawan 2024.
Beliau berkata sebanyak RM60 juta turut diperuntukkan bagi melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.