Ancaman bom panggilan palsu-Polis
15 OKT : Tiada bom ditemui di sekitar pusat beli-belah dan hotel di bandar raya Johor.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dengan berkata panggilan yang diterima hanyalah palsu.
Ia berikutan, kerja pengesanan bom yang dijalankan Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 sejak jam 6.30 petang semalam hingga jam 11.30 malam tadi tidak menemui sebarang objek mencurigakan seperti yang didakwa.
Jelasnya lagi, polis menerima panggilan pihak pengurusan pusat beli-belah itu jam 6.10 petang semalam yang memaklumkan ada menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai warga asing.
“Suspek menyatakan telah meletakkan bom di sekitar pusat membeli-belah dan hotel.
“Hingga jam 11.30 malam, keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa dan tiada sebarang objek yang mencurigakan ditemui.
“Kawasan berkenaan selamat beroperasi seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun demikian, Kamarul Zaman berkata, polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk pemerhatian lanjut. Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat ketenteraman awam.
Semalam, ribuan pengunjung termasuk pekerja dan kakitangan pusat beli-belah ternama di bandar raya ini berdepan detik cemas apabila diminta mengosongkan bangunan itu, secara tiba-tiba sejak jam 6.30 petang.