15 OKT : Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Rabu ini.
Perkara itu dijelaskan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan berkata, beberapa individu telah dikenal pasti sebagai calon kerusi berkenaan.
Namun, jelasnya lagi, gabungan itu akan memastikan calon yang bakal bertanding ‘bersih’ daripada sebarang rekod jenayah dan rasuah.
“Beberapa senarai nama ini (calon) sedang disaring oleh polis (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita (GPS) perlu dapatkan calon yang baik dan bersih, itu prosedur biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Bintulu, hari ini.
Tambahnya lagi, beberapa faktor seperti umur dan komposisi pengundi di DUN Jepak perlu diambil kira sebelum GPS memuktamadkan calon yang layak bertanding di kawasan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.