15 OKT : Masalah tandas di sekolah akan diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus memberi jaminan yang masalah tersebut akan diselesaikan dengan cepat demi kesejahteraan anak-anak di sekolah.
Perkara itu dinyatakan menerusi laman sosial Facebooknya dimana Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada murid berusia sembilan tahun bernama Maryam yang menulis surat kepada beliau menceritakan keadaan tandas di sekolahnya.
“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah,” kata Perdana Menteri.
Dalam hantaran itu, Anwar turut berkongsi surat Maryam yang ditulis tangan dalam Bahasa Inggeris dan merujuk beliau sebagai Uncle Anwar.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Anwar berkata tidak boleh diterima akal bahawa selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.