16 Okt : Rafah, satu-satunya jalan masuk ke Gaza yang tidak dikawal Israel dijangka bakal dibuka semula hasil usaha diplomatik dengan Mesir bagi membolehkan bantuan dihantar ke wilayah itu, lapor Reuters.
Wilayah Gaza ang dikuasai pejuang Palestin, Hamas kini berdepan serangan bom rejim Israel sejak 7 Oktober lalu menghadapi masalah kehabisan bekalan air, minyak, elektrik dan makanan akibat sekatan penuh rejim zionis.
Namun Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken yang mengesahkan perkara itu tidak memberikan tempoh masa berhubung pembukaan laluan sempadan berkenaan.
“Rafah akan dibuka semula…kami sedang melaksanakan satu mekanisme antaranya bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir dan Israel bagi mendapatkan bantuan serta menyalurkannya kepada insan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam.
Sebelum ini AS mengadakan perjanjian dengan Mesir bagi memberi laluan kepada rakyatnya keluar dari Gaza melalui Rafah.
Ratusan truk bantuan daripada beberapa negara dilaporkan terkandas di Semenanjung Sinai, Mesir selama beberapa hari sementara menunggu pembukaan semula sempadan yang ditutup Selasa lalu selepas kawasan tersebut dibedil tiga kali oleh Israel.
Anggota keselamatan Mesir cedera dalam serangan itu.
Diplomat veteran AS, David Satterfield dilantik sebagai utusan khas untuk isu kemanusiaan di Timur Barat, semalam dan dijadual tiba di Mesir, hari ini untuk mencari kata sepakat berhubung misi kemanusiaan.
Sementara itu, seorang pegawai Palestin yang dilaporkan ABC News memberitahu laluan sempadan Rafah itu dibuka hari ini.
Memetik sumber keselamatan, ABC News melaporkan laluan itu akan hanya dibuka selama beberapa jam hari ini tanpa memberikan butiran lanjut.
Israel sebelum ini mengarahkan ratusan ribu penduduk Gaza berpindah ke selatan serta mahu pesakit dipindahkan dari hospital di mana kedua-dua tindakan itu mendapat kecaman dunia.
Sebelum ini, Presiden AS, Joe Biden menggesa Israel supaya mematuhi undang-undang perang dalam tindak balasnya terhadap serangan Hamas.
Biden menerusi catatan di media sosial, mendakwa sebilangan besar rakyat Palestin tiada kena mengena dengan serangan pejuang Hamas dan sedang menderita, kesan tindakan tentera itu.
Sementara itu, melalui sesi temubual dalam ‘CBS 60 Minutes’ Biden berkata, Israel perlu menghapuskan Hamas, namun memberikan amaran Israel melakukan kesilapan besar untuk menduduki Gaza.