16 OKT : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyiasat dakwaan Universiti Malaya (UM) menaikkan yuran perkhidmatan secara senyap-senyap.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap berhubung dakwaan dibuat oleh Persatuan Mahasiswa Progresif UM itu..
“Ya, ini semua perkara yang ada (berlaku) di universiti, benda- benda begini kadang-kadang universiti memang dia tak maklum atau merujuk kepada kementerian.
“Jadi itu yang kementerian kadang-kadang pun tak tahu, apa- apa pun kita akan menyiasat perkara ini,” katanya dalam sidang media di Pahang, semalam, lapor Malaysiakini.
Terdahulu, Presiden Persatuan Mahasiswa Progresif UM, Nurul Afrina Rosli menuntut pihak universiti menjelaskan soal kenaikan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis awal.
Dakwanya, yuran perkhidmatan dikenakan kepada pelajar baru sesi akademik 2023/2024 sebanyak RM360 dengan kenaikan sebanyak RM119 atau 49.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu Khaled berkata setakat ini perkara itu hanya berlaku di sebuah universiti dan pihaknya belum menerima aduan berkaitan isu sama di tempat lain.