16 OKT : Kerajaan Persekutuan akan terus memperhalusi kaedah terbaik dalam mengimbangi pembangunan ekonomi di setiap negeri.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata antara langkah yang sudah dilaksanakan termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilihat berupaya merapatkan jurang yang semakin melebar antara negeri perindustrian dengan negeri yang masih ketinggalan.
Beliau berkata, kekuatan kluster industri di setiap negeri juga mampu melengkapi antara satu sama lain selain mendapat manfaat ekonomi daripada kluster sedia ada.
“Dasar pelaburan baharu berdasarkan aspirasi pelaburan nasional turut menggariskan kepentingan dan keseimbangan wilayah, malah NIMP2030 juga turut menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman sebagai salah satu misi utama.
“Selain itu, kekuatan kluster industri di setiap negeri boleh melengkapi antara satu sama lain sebagai contoh, Kedah dan Perak mendapat manfaat ekonomi daripada kluster elektrikal dan elektronik di Bayan Lepas dan juga Batu Kawan.
“Limpahan ekonomi ini akan dapat mewujudkan kluster baharu dan industri sokongan seperti perkilangan berteknologi dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan di Hi Tech di Kulim yang boleh menyokong kluster ENE di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkenaan bagaimana pihak MITI menyeimbangkan pelaburan masuk di semua negeri dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pelaburan yang diluluskan di Malaysia tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja malah pelaburan yang melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor itu hanya 31.9 peratus.
“Pada dasarnya, pemilihan lokasi pelaburan oleh pelabur adalah atas keputusan perniagaan pelabur itu sendiri dan banyak bergantung kepada ekosistem dan kekuatan kluster industri di sesebuah negeri.
“Majlis Pelaburan Negara (MPN) juga menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif yang antara lain akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selaku IPA utama negara akan terus mempromosi koridor ekonomi wilayah bedasarkan kekuatan ekonomi ekositem di setiap wilayah.
“Jadi, dalam usaha kita untuk menggalakkan aktiviti pelaburan dengan berkesan, terdapat keperluan untuk menyusun semula landskap IPA dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah terutamanya apabila berkaitan dengan pelaburan dan perdagangan.
“Kita akan merealisasikan target ini dan dasar ini akan dikongsikan kepada semua negeri,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL