16 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk menghentikan dakwaan kononnya Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu rakyat Palestin.
Tegas beliau, perkara tersebut bukanlah satu keputusan yang mudah kerana ia perlu mendapat kesepakatan daripada negara jiran bagi melancarkan proses memberi bantuan.
“Pimpinan tentera minta saya sampaikan, adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan dalam penyampaian mesej dan tazkirah mereka untuk singgung hal ini.
“Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah. Jika mahu hantar tentera, termasuk pasukan pendamai atau keamanan atau koridor kemanusiaan, ia mesti disepakati negara jiran. Jika tidak, pesawat kita tidak boleh mendarat.
“Jadi saya minta supaya ada kefahaman, jangan kelirukan rakyat,” katanya ketika menyampaikan penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata sudah tiba masanya Malaysia bersama dukungan negara lain mengehentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Katanya, Malaysia bersedia melakukan apa sahaja tindakan yang perlu bagi merealisasikan hasrat itu.
“Dalam perbincangan kita dengan wakil-wakil negara lain nampak ada keresahan dan timbul jalan buntu terutama kerana Israel mendapat dukungan penuh Amerika Syarikat dan Eropah.
“Peringkat awal ini Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan mewakili kita berjumpa dengan negara Arab untuk menyampaikan hasrat kita dengan satu matlamat untuk menyelamatkan keadaan sekarang dan mengambil apa sahaja langkah yang perlu.
“Saya akan susuli di Riyadh dan sekiranya perlu akan bantu rakan-rakan di sana untuk mencari penyelesaian yang baik,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL