16 OKT: Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi kepada rakyat, namun ia perlu dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan rakyat yang layak sahaja menerima manfaatnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan bagi mengelakkan ketirisan serta mengekang golongan kaya dan 3.5 juta warga asing daripada mengambil kesempatan menikmati manfaat itu.
“Sejumlah RM81 bilion subsidi diberikan kerajaan, tertinggi di dunia. Walaupun saya dikecam ‘bila kita jadi kerajaan hari ini, minyak akan turun esok’, ia satu konteks yang berbeza kerana ketika itu harga minyak di Arab Saudi ialah 50 sen, sekarang harga di sana RM2.85 dan kita RM2.05.
“Minyak, ayam dan elektrik pula dinikmati oleh 3.5 juta orang asing, 10 peratus orang kaya dan ia tidak termasuk yang diseludup keluar. Disebabkan itulah perancangan perlu dilakukan untuk mengelakkan ketirisan berlaku,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Oktober, hari ini.
Anwar turut memberi contoh subsidi diesel yang didapati penggunaanya meningkat puluhan peratus, pada masa sama jumlah kereta tidak meningkat.
“Sebelum Covid-19, banyak pengangkutan guna minyak diesel, itu kita faham. Tetapi sekarang kereta tak meningkat puluhan peratus tetapi penggunaan minyak diesel meningkat puluhan peratus.
“Maknanya minyak diesel itu dibawa keluar dari kapal laut dan sempadan, sebab itu sekarang kita buat dasar perbaiki tentang subsidi diesel,” katanya. Oleh : Aisyah Badrul