14 OKT: Pemerkasaan rangkaian 5G di seluruh negara kira-kira 64.7 peratus di kawasan berpenduduk dilihat mampu mencapai sasaran 80 peratus liputan menjelang akhir 2024.
Namun, di sebalik sasaran pencapaian itu, kerajaan juga perlu mengambil kira kadar gunaan 5G dalam memanfaatkan rangkaian itu kepada pengguna.
Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata, kerajaan perlu mengadakan satu ‘kayu ukur’ dalam memberi gambaran sebenar penggunaan 5G dalam kalangan rakyat memandangkan nilai pelaburan serta projek dalam menjayakan rangkaian ini berjumlah besar.
“Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meletakkan kayu ukur terutamanya di dalam elemen ketersambungan ini bukan hanya pada kadar liputan tetapi turut mengambil kira kadar gunaan dalam memanfaatkan rangkaian kepada pengguna.
“Ia melibatkan manfaat terutamanya untuk kita menilai terhadap pulangan inisiatif besar dalam roll out untuk 5G ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menyentuh aspek sektor ekonomi digitalisasi, Syed Ibrahin turut memuji usaha kerajaan dalam menggalakkan rakyat menyertai sektor ini terutamanya dalam kalangan anak muda.
“Banyak usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam digital terutamanya dalam aspek ketersambungan digital dan pengukuhan platform serta inisiatif digital kepada rakyat dan golongan muda.
“Nampak ada kesungguhan untuk meletakkan terutamanya dalam ekonomi digital sebagai teras pertumbuhan ekonomi di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga turut mencadangkan agar kerajaan melakukan cadangan lebih teliti dalam memperkasa serta memanfaatkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi).
Jelas beliau, PEDi perlu menetapkan sasaran dan program dalam memeperkasakan pengetahuan rakyat mengenai digital dan tidak hanya menunggu kehadiran rakyat yang datang ke pusat itu sahaja.
“Selain itu, terkait niat kerajaan untk memajukan sektor digital melalui pelbagai usaha yang sudah atau sedang digerakkan , saya mohon kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk menjelaskan perancangan teliti dalam memperkasa serta memanfaatkan PEDi.
“Baru-baru ini saya hadir dalam satu program di Melaka, dan saya agak teruja melihat di sana mereka telah menetapkan beberapa sasaran supaya PEDi ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai conoth, PEDI mengeluarkan 5 usahawan dalam kalangan rakyat.
“Ini merupakan satu kayu ukur yang baik dan sewajarnya boleh juga diamalkan di semua tempat supaya ada hasil baik yang keluar daripada PEDi dan tidak hanya sebagai satu tempat yang hanya menunggu rakyat datang dan belajar tentang teknologi dan internet,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL