17 OKT : Colombia menuntut Duta Besar Israel, Gali Dagan ‘meminta maaf dan keluar’ dari negara itu selepas beliau mengkritik Presiden Gustavo Petro yang mengutuk rejim Israel dalam konflik Israel-Palestin.
Menteri Luar Columbia, Alvaro Leyva menyifatkan Dagan seorang yang biadab.
“Sejarah diplomasi universal akan mencatat sebagai tonggak bersejarah ketidaksopanan yang tidak bermakna dari Duta Besar Israel di Colombia terhadap Presiden Gustavo.
“Malu pada dia. Sekurang-kurangnya, dia mesti memohon maaf dan meninggal negara. Kecerdasan dihadapi dengan kecerdasan. Ada negara yang dipertaruhkan,” kata Levya yang sekali gus meningkatkan ketegangan dalam hubungan diplomatik yang sudah tegang antara kedua-dua negara.
Menurut Agensi Berita Iran (IRNA), Petro mula mengkritik rejim Israel di media sosial sejak pertempuran itu bermula 7 Oktober.
Rejim Zionis mengumumkan penggantungan eksport berkaitan keselamatan ke Colombia pada Ahad sebagai tindak balas terhadap kritikan Presiden Colombia itu.
Susulan tindakan rejim Zionis, Petro mengancam untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel serta menekankan Colombia tidak akan menyokong pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Petro turut meminta kerajaan Amerika Latin lain bersolidariti dalam isu itu dan berikrar akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (QS), Antony Blinken memaklumkan Presidennya, Joe Biden akan melawat Israel pada Rabu.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Blinken berkata keputusan lawatan ini dilakukan selepas lebih tujuh jam pertemuan beliau dengan kabinet perang Israel.
“Dalam lawatan ke Israel, Biden akan mendengar daripada Israel bagaimana mereka akan menjalankan operasi dengan cara mengurangkan kematian orang awam dan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza tanpa memberi manfaat kepada Hamas.
“Pertemuan ini juga bagi mengukuhkan lagi solidariti AS dengan Israel dan komitmen kukuh kami terhadap keselamatan negara itu dalam lawatan beliau pada hari Rabu ini,” katanya.
Setakat hari ini, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 2,808.
Menurut laporan Anadolu, sekurang-kurangnya 10,859 rakyat Palestin cedera dalam pengeboman Israel di kawasan pinggir laut.
Pertempuran bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan bertubi-tubi roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada 7 Oktober.
Kumpulan pejuang itu berkata pencerobohan itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan terhadap Masjid Al-Aqsa dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.