17 Okt : Malaysia tewas di tangan Tajikistan sekali gus kempunan untuk merangkul piala Pestabola Merdeka buat kali ke-13 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Pasukan Singa Persia itu menjulang gelaran juara Pestabola Merdeka 2023 dengan dua jaringan tanpa balas pada penyertaan pertama mereka dalam kejohanan tersebut yang pastinya mengecewakan 36,000 penyokong pasukan kebangsaan.
Pasukan kendalian Peter Segrt itu mengecewakan Malaysia buat kali kedua selepas pertemuan di pentas final Piala Raja Thai tahun lalu.
Pasukan pelawat itu membolosi gawang tuan rumah pada minit ke-44 melalui jaringan Soirov Rustam.
Jaringan tambahan dibuat menerusi pemain gantian, Samiev Shahrom pada minit ke-88.
Anak buah Kim Pan Gon dilihat cuba mengasak dan membolosi gawang lawan namun gagal mencatat sebarang gol sehingga akhir perlawanan.
Di Thailand, Malaysia tumpas 0-3 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti pada September tahun lalu.
Skuad negara terus kemarau untuk merangkul sebarang piala selepas kali terakhir memenangi Piala AFF 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.
Pestabola Merdeka 2023 dianjurkan kembali selepas penganjuran terakhir pada 2013.
*Foto: Facebook FAM