17 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan kelemahan tata kelola yang melibatkan kepentingan negara dan agenda Bumiputera.
Katanya, pengurusan perniagaan agensi berkaitan kerajaan perlu melakukan perubahan sekiranya berlaku kelemahan tata kelola yang mengakibatkan kerugian.
“Kelemahan tata kelola yang menyebabkan ketirisan wang kerajaan tidak boleh lagi dibiarkan berterusan dan perlu ditangani dengan segera.
“Seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang memerlukan suntikan berjumlah RM8.3 bilion disebabkan pengurusan yang leceh dan tata kelola yang lemah selain Lembaga Tabung Haji (TH).
“Langkah suntikan dari kerajaan itu perlu dilaksanakan bagi mengelakkan aset Bumiputera terlepas ke tangan bukan Bumiputera.
“Saya tidak boleh izinkan hal ini berterusan. Agensi berkaitan Bumiputera terutamanya memerlukan pengurusan yang profesional. Ini kerana bukan saja mengkhianati amanah biasa tetapi amanah yang sangat diharapkan oleh Bumiputera. Ramai yang apabila diberi amanah, ia lupa matlamat asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penambahan satu bilion unit Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di bawah Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu semua agensi yang diberi amanah menjaga kepentingan Bumiputera supaya memahami tujuan asal penubuhannya.
Jelas beliau, ada agensi terbabit beroperasi hanya untuk faedah komersial serta tidak menguruskan dengan baik tanah serta saham khusus untuk golongan itu.
“Saya di antara orang yang cukup tegas dalam negara ini supaya memberi ruang kepada semua.
“Tetapi agensi diamanahkan menjaga kepentingan Bumiputera diberi tanah, diberi saham diberi kemudahan kerana tanggungjawab menjaga bumiputera kemudian urus dengan tidak baik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan terbitan 1 bilion unit tambahan kepada AHB yang secara langsung meningkatkan komitmen Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).
Beliau turut meningkatkan had pelaburan kepada RM1 juta daripada RM500,000 untuk pelabur individu.