17 OKT : Universiti awam di negara ini tidak dibenarkan menolak kemasukan mana-mana pelajar miskin atau tidak mampu untuk membayar yuran.
Pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian juga tidak akan disekat untuk mendaftar subjek pada setiap semester di mana bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan itu hari ini ketika Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata arahan yang pertama kali dalam sejarah negara itu untuk memastikan pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dan kementerian atau jabatan harus selesaikan.
“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.
Beliau memaklumkan terdapat pelajar dari Ampang dan Tambun menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Ketika pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Anwar mengumumkan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 bermula Januari depan selari dengan nilai Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.