18 OKT : Inisiatif Singapura membina jelapang padi di negara lain bagi memastikan bekalan beras di negara itu mencukupi wajar dicontohi Malaysia.
Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu berani ke hadapan dalam merevolusikan industri pertanian serta melakukan pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan (BPT) yang semakin membimbangkan.
“Singapura tidak mempunyai tanah namun negara itu boleh mengeluarkan beras kerana berkolaborasi bersama negara yang mengadakan pelaburan bersama seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja.
“Saya cadangkan kerajaan mengikuti langkah negara-negara jiran untuk membuka jelapang padi di negara-negara pengeluar beras dan buat kolaborasi. Mungkin 70 peratus hasil beras itu dibawa balik dan 30 peratus ditinggalkan kepada negara berkenaan.
“Kita tidak boleh lagi berhadapan dengan keadaan begini kerana harga makanan sudah meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Bung Moktar berkata sudah tiba masanya kerajaan membuat undang-undang mandatori terhadap tanah pertanian khususnya tanah penanaman padi yang tidak boleh ditukar kepada pembangunan lain.
Jelas beliau, kerajaan perlu memandang industri pertanian sebagai enjin utama penyumbang pendapatan negara di samping dapat menampung keperluan negara.
“Saya minta kerajaan gazetkan ribuan hektar tanah pertanian rizab yang belum diguna pakai dan beri cadangan untuk menggerakkan tanah ini.
“Kita beri keutamaan kepada dua bidang iaitu padi dan jagung kerana dua komuditi ini penting bagi rakyat Malaysia.
“Pelabur-pelabur yang datang berkata penglibatan dalam industri makanan tidak akan merugikan apa-apa bahkan menguntungkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata industri makanan halal Malaysia perlu diperkasakan semula di bawah Halal Development Corporation (HDC) dan Jakim.
Beliau berkata, Malaysia tidak tersenarai sebagai negara pengeluar makanan halal tertinggi walaupun logo halal negara ini diidamkan seluruh dunia.
“Jumlah keperluan makanan halal di dunia adalah 7 trilion AS$ setiap tahun, namun dari jumlah itu negara kita hanya memperoleh keuntungan sebanyak 0.0001 peratus sahaja sedangkan negara kita dikenali sebagai pengeluar produk makanan halal.
“Negara yang berjaya meraih keuntungann dalam industri ini adalah, Thailand, Korea, Hong Kong dan Jepun. Jadi sudah tiba masanya HDC bersama Jakim menggerakkan semula industri ini
“Kedua agensi ini tidak boleh beroperasi seperti zaman batu. Agensi seperti ini harus diperkuasakan serta diberikan peruntukan yang banyak untuk melakukan promosi bagi menggerakkan industri produk makanan halal di seluruh negara,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL