18 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan gila rejim zionis membedil sebuah hospital di Gaza semalam yang mengorbankan 500 nyawa.
Beliau juga menyifatkan Israel sudah hilang perikemanusiaan apabila bertindak menyerang Hospital Al-Ahli Al-Arabi yang jelas-jelas menempatkan pesakit termasuk kanak-kanak dan wanita.
“Perkembangan terkini mengenai serangan Israel itu agak keterlaluan, saya juga turut mengulangi beberapa kenyataan yang telah dibuat mendukung beberapa kenyataan sesetengah pimpinan negara luar yang menyatakan kesal dan mengecam pengeboman hospital Gaza.
“Apa pun yang dituduh siapa pun maknanya ini kesan dari serangan dan perang, sebab itu kita katakan sebaiknya hentikan.
“Ini masa untuk kita redakan keadaan dan hentikan, kalau teruskan ini, mangsanya wanita, anak-anak, pesakit…ini sudah sampai ke tahap gila dan hilang perikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian Simposiun Laluan Ke Arah Kesejahteraan Lebih Baik Untuk Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Hari ini, Al Jazeera melaporkan sebuah hospital di tengah Gaza yang sarat dengan pesakit dan pelarian Palestin dibom rejim zionis hingga menyebabkan lebih 500 terbunuh.
Dalam pada itu, Anwar turut menyuarakan kekesalannya terhadap negara Barat yang berat sebelah dalam hal itu.
“Dan yang paling dikesalkan ialah negara Barat yang bercakap soal hak kemanusiaan ini rupanya ada kategori.
“Ada manusia kelas satu, ada manusia kelas hamba dan ini kita bantah sekeras-kerasnya,” katanya.
Anwar yang akan ke Riyadh, Arab Saudi esok bagi menghadiri persidangan tetap antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN akan mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
“Selepas GCC, Perdana Menteri, Putera Mahkota Mohammed bin Salman meminta saya hadir lawatan sehari untuk berbincang.
“Saya akan fikirkan keperluan untuk berbincang dengan beberapa kepemimpinan sama ada saya perlu jelajah ke beberapa negeri atau melalui telefon saja,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai status pasukan pengaman Malaysia di Lubnan, Anwar berkata keputusan mengekalkan pasukan itu adalah keputusan bersama dicapai dengan Pertububan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kalau keadaan keselamatan itu dapat terjamin kita akan teruskan kalau tidak kita akan bawa pulang,” katanya.